SEMPORNA, 10 Oktober 2025 – Seorang wanita warga tempatan ditahan selepas disyaki menjalankan kegiatan menjual rokok seludup dan menyimpan minyak masak bersubsidi untuk dijual semula dalam serbuan di rumahnya di Kampung Simunul, di sini semalam.
Pemangku Komander Briged Sabah Pasukan Gerakan Am (PGA), Asisten Komisioner Ahmad Radzi, berkata operasi itu dijalankan hasil risikan oleh Task Force Perisikan Batalion 22 PGA Kunak dengan kerjasama Cawangan Jenayah IPD Semporna.
“Hasil pemeriksaan di rumah suspek menemukan sejumlah besar rokok pelbagai jenama serta beberapa kotak minyak masak peket yang disyaki untuk dijual semula,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, pasukan turut menemukan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dipercayai digunakan untuk mengangkut barangan terbabit.
Nilai keseluruhan rampasan termasuk rokok, minyak masak dan kenderaan dianggarkan berjumlah RM173,865.
Disiasat di Bawah Dua Akta
Ahmad Radzi berkata, suspek bersama semua barangan rampasan diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Semporna untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Kejayaan operasi ini hasil risikan berterusan Task Force Batalion 22 PGA Kunak dalam membanteras kegiatan penyeludupan dan penyelewengan barang kawalan di kawasan pantai timur Sabah,” katanya.
Beliau menambah, pihak PGA akan terus memperkukuh kerjasama rentas agensi keselamatan bagi memastikan kegiatan penyeludupan di sempadan perairan Sabah dapat dibanteras sepenuhnya.
Kawasan Berisiko Tinggi
Kampung Simunul antara kawasan yang dikenal pasti sebagai zon berisiko tinggi aktiviti penyeludupan barangan kawalan, susulan kedudukannya yang berhampiran laluan laut terbuka dan penempatan padat.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sebelum ini turut mengesahkan bahawa pantai timur Sabah mencatat antara jumlah tertinggi kes penyelewengan minyak masak bersubsidi di negara ini, didorong oleh perbezaan harga dengan negara jiran serta permintaan tinggi di pasaran gelap.