KOTA KINABALU, 22 Sept – Tular di media sosial apabila penceramah bebas, Muhamad Na’im Ab Razak, tampil mempertahankan Ustaz Azhari, guru yang sebelum ini dikaitkan dengan pelbagai spekulasi dalam kes kematian pelajar, Zara Qairina.
Menurut Na’im, banyak fitnah dilemparkan terhadap Ustaz Azhari walhal beliau antara individu yang paling banyak membantu menguruskan arwah dari awal sehingga ke urusan jenazah.
Peranan Ustaz Azhari Yang Disebut
Na’im menegaskan, antara urusan yang dilakukan oleh Ustaz Azhari ialah:
- Menguruskan arwah di hospital.
- Mengangkat keranda arwah.
- Mengurus jenazah pulang dari hospital.
- Membuat laporan polis.
- Mengiringi pelajar untuk siasatan.
- Menyerahkan barang bukti kepada pihak polis.
Na’im juga mendedahkan dakwaan bahawa diari arwah disembunyikan berminggu-minggu adalah palsu, kerana diari tersebut diserahkan sendiri oleh keluarga kepada polis selepas diminta oleh penyiasat.
Isu “Kak M” & Audio Lama
Na’im turut menjelaskan bahawa audio yang dikaitkan dengan seorang pelajar bernama “Kak M” adalah audio lama dan individu berkenaan sudah dikenal pasti polis.
Katanya, tiada laporan rasmi dikaitkan dengan sekolah berhubung insiden lama itu.
Kekecewaan Terhadap Fitnah
Na’im menyifatkan tindakan netizen yang menyerang pelajar lain, termasuk adik kepada arwah, adalah satu kesilapan besar kerana mereka merupakan individu yang baik dan pertama menemui Zara.
Beliau juga kecewa apabila ustaz turut dituduh berpura-pura pandai mengurus trauma, sedangkan beliau hanya berusaha menenangkan pelajar lain.
“Paling dahsyat, bila ustaz dah tak tahan difitnah dan dibuli, dia sampai menangis dalam mahkamah. Tapi netizen cakap itu drama untuk sembunyikan jenayah,” katanya dalam hantaran Facebooknya.
Na’im menyeru netizen untuk bersangka baik terhadap warga pendidik dan pelajar, serta tidak sewenangnya menyebarkan fitnah.
“Saya sendiri tak dapat bayangkan jika saya di tempat Ustaz Azhari. Dah habis-habisan bantu pelajar tapi difitnah macam-macam. Saya tak rasa yang saya ada kesabaran seperti beliau,” tulisnya.
Sumber
Facebook Muhamad Na’im Ab Razak (18 September 2025).