KOTA KINABALU, 25 Sept – Universiti Malaysia Sabah (UMS) meneruskan agenda besar pendidikan tinggi negara dengan penganjuran Program Karisma Pemikir Madani Kepimpinan Tertinggi Universiti – “UMS NEXT 30: Dari Bumi Borneo Menyulam Ilmu, Menyuluh Dunia”, yang dirasmikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir.
Majlis yang berlangsung di Kota Kinabalu itu menjadi wadah penting bagi warga universiti membincangkan hala tuju pendidikan tinggi, khususnya peranan UMS sebagai institusi ilmu berprestij di Borneo.
Zambry dalam ucapan perasmian menekankan kepentingan universiti untuk terus melahirkan pemimpin berwawasan, berintegriti dan berpaksikan nilai Madani. Beliau turut menyatakan bahawa UMS perlu menjadi pencetus idea segar dan pusat ilmu yang menyumbang bukan sahaja di peringkat negeri dan nasional, malah pada peringkat global.
Program ini juga menampilkan sesi dialog bersama warga universiti, memberi peluang kepada mereka untuk mengutarakan isu pendidikan tinggi serta mencadangkan penyelesaian bagi meningkatkan keberkesanan sistem akademik di UMS dan negara.
Acara ini dilihat sebagai sebahagian daripada inisiatif transformasi pendidikan tinggi, khususnya dalam menyemarakkan visi UMS menuju usia tiga dekad penubuhannya.
Sumber: Facebook Samasuddin Yusop