TAWAU, 26 Sept – Kementerian Pengangkutan memberi jaminan akan memantau rapat projek naik taraf Lapangan Terbang Tawau bernilai RM120.9 juta bagi memastikan ia siap mengikut jadual dalam tempoh 36 bulan, menjelang tahun 2028.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata projek ini dijangka memberi manfaat besar kepada sektor pelancongan dan perdagangan di Sabah dengan penyediaan fasiliti moden serta lebih selesa untuk penumpang.
“Kontraktor wajib menyiapkan projek tepat pada waktunya. Saya akan memantau setiap minggu melalui laporan kemajuan pasca mesyuarat Kabinet,” katanya ketika merasmikan majlis pecah tanah projek berkenaan, hari ini.
Kapasiti Naik 2.5 Juta Penumpang
Projek yang dilaksanakan oleh syarikat pembinaan tempatan Sabah itu akan meningkatkan kapasiti terminal penumpang daripada 1.5 juta kepada 2.5 juta orang setahun.
Antara komponen utama naik taraf termasuk:
- Penambahan aerobridge
- Naik taraf apron pesawat
- Sistem penghawa dingin & kaunter daftar masuk baharu
- Fasiliti awam lebih selesa termasuk tandas
- Ruang imigresen & e-imigresen berasingan untuk penerbangan domestik dan antarabangsa mengikut piawaian antarabangsa
Loke menegaskan, pembahagian ruang imigresen yang jelas amat penting bagi mengelak kekeliruan penumpang dan risiko penumpang terlepas saringan.
Gerbang Strategik Ke Kalimantan Timur
Naik taraf ini juga dijangka memperkukuh peranan Tawau sebagai pintu masuk strategik ke Kalimantan Timur, Indonesia, seiring agenda Malaysia MADANI untuk membangunkan infrastruktur inklusif dan mampan.
Untuk rekod, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2025 tahun lalu turut mengumumkan projek perluasan Lapangan Terbang Tawau dan Miri dengan kos keseluruhan RM235 juta.
Sumber: BERNAMA