TAWAU, 24 Sept – Polis menahan sepasang suami isteri warganegara China selepas mereka disyaki menghantar e-mel ugutan palsu mendakwa terdapat bom dalam pesawat dari Tawau ke Kuala Lumpur.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pasangan berusia 28 dan 29 tahun itu diberkas di sebuah hotel di Semporna pada jam 8 malam, Isnin lalu.
Menurut beliau, hasil siasatan awal mendapati salah seorang suspek mengaku menghantar mesej ancaman itu melalui aplikasi rasmi sebuah syarikat penerbangan dengan alasan mahu menukar tempat duduk dalam penerbangan mereka ke Kuala Lumpur sebelum transit ke Beijing.
“Suspek mendakwa mereka terbaca satu portal di China yang menyatakan cara mempercepatkan maklum balas syarikat penerbangan adalah dengan menghantar aduan berbentuk ancaman,” katanya dalam kenyataan.
Ugutan Cetus Amaran Keselamatan
E-mel itu dihantar ke ibu pejabat syarikat penerbangan terbabit di Kuala Lumpur pada 20 September, kira-kira jam 11.30 malam, sebelum maklumat disalurkan kepada pihak keselamatan syarikat di Lapangan Terbang Tawau.
Siasatan & Langkah Lanjut
Kedua-dua suspek kini disiasat mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Pihak Konsulat Republik China turut dimaklumkan mengenai penahanan pasangan tersebut.
Polis menegaskan perbuatan menghantar ugutan palsu, lebih-lebih lagi melibatkan isu keselamatan penerbangan, adalah satu kesalahan serius dan boleh dikenakan tindakan undang-undang tegas.
Sumber: Artikel dari Sinar Harian