PUTRAJAYA, 24 Sept — Barisan Nasional (BN) mengesahkan pendirian beraninya menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah apabila hanya bersedia bekerjasama dengan mana-mana parti lain kecuali Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata langkah itu adalah strategi untuk mengelakkan pertindihan kerusi yang boleh melemahkan peluang kemenangan, sambil menegaskan BN lebih terbuka kepada kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dan pihak lain yang sehaluan.
“BN-PH ‘plus’ ‘plus’ ‘plus’ bermaksud kita bersedia bersama mana-mana pihak yang setuju dengan prinsip parti kita bagi mengelakkan pertindihan kawasan yang mempunyai kelebihan dari segi peluang kemenangan.
Dengan GRS, kita sudah muktamadkan (tidak bekerjasama) kerana mereka yakin mampu menang banyak, jadi mereka tidak memerlukan BN,” katanya selepas Majlis Peluncuran IKONDESA di Putrajaya hari ini.
Mengikut perlembagaan negeri, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah akan terbubar secara automatik pada 11 November 2025, sekaligus memberi laluan kepada PRN17.
Sebelum ini, Zahid yang juga Presiden UMNO menegaskan BN tidak akan bertanding di semua 73 kerusi, sebaliknya telah menilai jumlah kerusi yang sesuai untuk ditandingi bagi memastikan strategi lebih tersusun.
— Sumber: Bernama (bernama.com)