KOTA KINABALU, 2 Okt – Suasana politik Sabah semakin panas apabila Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, mengesahkan bahawa partinya telah keluar daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkuat kuasa serta-merta.
Keputusan mengejut ini dibuat selepas mesyuarat Majlis Presiden GRS malam tadi, susulan perbezaan pendirian berhubung cadangan gabungan itu untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN-17).
“Kami sudah maklumkan keputusan kepada Majlis Presiden. Pengumuman rasmi akan dibuat bila-bila masa hari ini,” kata Jeffrey dipetik daripada laporan Free Malaysia Today (FMT).
Jeffrey Pilih Jalan Solo
Jeffrey menegaskan STAR tidak akan bersama GRS jika ia terus berpakat dengan PH. Malah, beliau sanggup “pergi seorang diri” sekiranya ada ADUN atau pemimpin STAR yang menentang langkah drastik tersebut.
Buat masa ini, STAR mempunyai enam ADUN termasuk Jeffrey sendiri, yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah.
SAPP Dijangka Ikut Keluar
Difahamkan, Sabah Progressive Party (SAPP) pimpinan Datuk Seri Yong Teck Lee turut berkongsi pendirian yang sama, dan kini dijangka bakal mengikuti jejak STAR untuk keluar daripada GRS.
Ini sekali gus boleh mengubah hala tuju dan kekuatan gabungan menjelang PRN-17 yang dijangka sengit.
Parti Dalam GRS Berpecah Suara
- PBS, Usno, Parti Cinta Sabah – tidak membantah kerjasama dengan PH.
- LDP & PHRS – lebih rela GRS bergerak solo, namun tidak menolak sepenuhnya pakatan.
- STAR & SAPP – menolak keras kerjasama dengan PH, mahukan GRS berdiri sendiri.
Implikasi PRN Sabah
Langkah STAR ini bakal menjadi “game changer” politik Sabah. Dengan naratif “parti tempatan berani berdiri sendiri”, keputusan Jeffrey Kitingan dijangka akan menarik sokongan akar umbi yang skeptikal terhadap dominasi parti Semenanjung.
Soalnya, adakah SAPP akan benar-benar keluar selepas ini, dan mampukah GRS bertahan tanpa STAR?
Sumber: Free Malaysia Today (2 Oktober 2025)