Siapa Percaya Janji MA63 Muhyiddin?

0 1,032

PETALING JAYA: Seorang aktivis politik menolak janji perdana menteri baru-baru ini untuk mengembalikan hak Sabah dan Sarawak menyifatkannya sebagai retorik semata-mata.

Zainnal Ajamain yang berpangkalan di Sabah berkata, kata-kata Muhyiddin Yassin persis janji-janji kosong pemimpin masa lalu dan yakin pengundi Sabah dan Sarawak tidak akan tertipu dengan muslihat itu.

Katanya, pemimpin persekutuan sering bercakap mengenai apa yang boleh mereka lakukan untuk kedua-dua negeri itu sekiranya mereka mempunyai majoriti dua pertiga di Parlimen.

“Hakikatnya adalah, anda tidak memerlukan dua pertiga untuk menunjukkan anda komited untuk memperlakukan Sabah dan Sarawak sebagai rakan setara,” katanya.

Zainnal Ajamain

“Banyak yang dapat dilakukan melalui kuasa eksekutif, sama ada dari segi pengiktirafan yang lebih besar, memberikan lebih banyak autonomi kepada negeri-negeri, bahkan memperuntukkan lebih banyak dana sesuai dengan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan setara”

Minggu lalu, Muhyiddin berkata kerajaan komited untuk mengembalikan hak dan status Sabah dan Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) namun menambah ia mustahil untuk dicapai sekiranya gabungannya gagal mendapatkan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat untuk meminda perlembagaan.

Zainnal berkata Muhyiddin tidak akan menghadapi masalah untuk mendapatkan sokongan rakyat Sabah dan Sarawak sekiranya beliau menerapkan semangat MA63 melalui tindakan eksekutif.

“Tapi saya rasa dia tidak akan melakukannya dan ini bukan satu cerminan yang baik buat ketua menteri Sarawak Abang Johari Openg, yang telah menyatakan sokongan terhadap Muhyiddin.”

Jeniri Amir

Felo Majlis Profesor Negara (MPN), Jeniri Amir, berkata banyak kerja yang perlu dilakukan gabungan Perikatan Nasional (PN) untuk menewaskan Barisan Nasional (BN) di Sabah dan Sarawak.

“Banyak yang telah dilakukan BN untuk Sabah dan Sarawak,” katanya, sambil menambah untuk Sarawak sahaja, Najib Razak telah melakukan lebih daripada 60 perjalanan ketika menjadi perdana menteri. “Setiap kali, beliau akan mengumumkan sumbangan untuk negeri tersebut.”

Beliau berkata Muhyiddin perlu menangani isu-isu autonomi, pembangunan dan infrastruktur untuk mendapatkan sokongan di negeri-negeri rwo tersebut.

“Dari segi politik, akan ada masalah yang diperdebatkan kerana ada perwakilan PPBM di Sarawak seperti Willie Mongin (Ahli Parlimen Puncak Borneo) dan Ali Biju (Ahli Parlimen Saratok).

Oh Ei Sun

“Lebih baik jika PN meninggalkan Sarawak, sertai Gabungan Parti Sarawak dan bekerjasama dengannya setelah pilihanraya.”

Felo Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, Oh Ei Sun, berkata sebarang janji untuk memulihkan Sabah dan Sarawak hanya akan kedengaran seperti rekod rosak kerana ia hanyalah siaran ulangan janji-janji manis yang pernah dibuat ramai pemimpin persekutuan sebelumnya.

-FMT

Leave A Reply

Your email address will not be published.