KUALA LUMPUR, 10 Sept – Seorang wanita, Noor Ramzilaa, akhirnya tampil membuat permohonan maaf terbuka selepas tulisannya yang mendakwa Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek, mempunyai hubungan persaudaraan dengan pengetua sekolah arwah Zara Qairina menjadi tular di media sosial.
Wanita itu mengaku khilaf kerana mempercayai bulat-bulat dakwaan daripada siaran langsung pempengaruh, Jufazli Shi Ahmad, tanpa menyelidik kebenarannya. Fitnah tersebut kemudian tersebar luas, mencetuskan salah faham terhadap Menteri Pendidikan.
“Saya ingin membuat permohonan maaf kepada YB Fadhlina Sidek atas komen saya yang memfitnah beliau sepupu dengan pengetua sekolah arwah Zara. Saya menulis tanpa berfikir panjang selepas menonton live Jufazli dan video yang dikongsi orang lain,” katanya.
Beliau turut memadam tulisannya dan merayu orang ramai agar tidak mengganggu keluarganya, terutama anak-anak kecil serta suaminya yang menghidap penyakit skizofrenia.
“Saya betul-betul menyesal dan janji tidak akan ulangi lagi perbuatan ini,” jelasnya.
Kes ini sekali lagi membuktikan betapa bahaya mempercayai maklumat tidak sahih di media sosial, yang bukan sahaja mencemarkan nama individu tertentu, malah boleh membawa kepada tindakan undang-undang.
Sumber:
- Mingguan Wanita
- Paparan komen & permohonan maaf Noor Ramzilaa di Facebook