Terkini

Rasuah: SPRM Tahan 2 individu termasuk seorang ADUN Sabah

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah dan ahli perniagaan bergelar Datuk kerana disyaki meminta dan menerima wang rasuah berjumlah kira-kira RM200,000 membabitkan isu pengeluaran lesen cari gali di negeri ini.

Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 30 dan 60-an itu telah ditahan kira-kira jam 9.45 dan 11.50 pagi tadi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah dan juga di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.

“Kedua-dua suspek yang terdiri daripada seorang ahli perniagaan dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dipercayai melakukan perbuatan tersebut sekitar tahun 2023 dan 2024.

“Siasatan awal juga mendapati kedua-dua suspek disyaki saling meminta dan menerima rasuah bernilai kira-kira RM200,000 antara satu sama lain bagi membantu menguruskan permohonan lesen cari gali di negeri ini,” katanya.

Baca juga  Terbongkar! Wanita Simunul Sorok Rokok Seludup & Minyak Masak Subsidi Bernilai RM173,000 Dalam Rumah

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16 (b) (A) Akta SPRM 2009.

Tambah beliau, suspek yang merupakan seorang ahli perniagaan telah dilepaskan selepas keterangan diambil dengan jaminan sebanyak RM100,000 (deposit sebanyak RM10,000) dengan dua orang penjamin.

Manakala seorang lagi suspek iaitu ADUN turut dilepaskan selepas keterangan diambil dengan jaminan sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin. – Buletin TV3

Ikuti perkembangan terkini Sabah Update Xtra di Telegram
Follow kami di Facebook

Editor

Terkini

Tentang Kami

Sabah Update ialah portal berita bebas yang berpusat di Sabah, berperanan sebagai wadah maklumat terkini dan sahih untuk rakyat negeri ini khususnya, serta Malaysia amnya.

Sabah. Real. Connected

Sabah Update © 2025. All Rights Reserved.