KOTA KINABALU: Di tengah kemelut politik Sabah menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17, Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Masidi Manjun, menyeru semua pihak untuk kekal tenang dan tidak tergesa-gesa membuat keputusan.
Menurut laporan Sabah Media, Masidi menegaskan bahawa GRS menitikberatkan ketenangan sebagai asas untuk membuat keputusan politik yang matang.
“Buat masa ini, biarlah kita bertenang dahulu. Pilihan raya itu penting, tetapi keputusan yang lebih baik biasanya dibuat ketika kita tenang. Setiap masalah ada penyelesaiannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri majlis pecah tanah projek Jesselton Docklands mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Mengulas tentang hubungan GRS dengan dua parti komponen yang keluar gabungan, iaitu Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP), Masidi menegaskan bahawa persahabatan tetap wujud biarpun tidak lagi sehaluan dalam arena politik.
“Dalam perbincangan, kami masih bercakap seperti kawan. Bila pulang, kami masih berkawan. Tidak semestinya bila tidak sependapat, kita menjadi musuh,” ujarnya.
Beliau menambah, budaya politik Sabah harus terus mencerminkan nilai persaudaraan dan kematangan, kerana perbezaan pendapat tidak wajar dijadikan alasan untuk bermusuhan.
Sebelum ini, Mesyuarat Majlis Presiden GRS yang dipengerusikan Hajiji Noor memutuskan bahawa keanggotaan STAR dan SAPP secara automatik tamat selepas kedua-dua parti memilih untuk bertanding menggunakan lambang sendiri dalam PRN17.
Mesyuarat yang berlangsung hampir dua jam itu turut membincangkan persiapan gerak kerja GRS serta rundingan agihan kerusi antara GRS dan Pakatan Harapan (PH).
Sumber: Sabah Media