RANAU, 27 Sept – Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM) N.38 Paginatan melancarkan Jentera Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 dalam satu majlis yang berlangsung di Dewan Kampung Lohan 1, Ranau hari ini.
Majlis berkenaan menyaksikan kehadiran pimpinan, ahli serta penyokong PKDM yang bersemangat menyatakan kesiapsiagaan parti menghadapi persaingan pilihan raya akan datang.
Watikah & Amanah Jentera
Dalam ucapannya, Datuk Rusdin menegaskan bahawa pelancaran jentera ini bukan sekadar simbolik, sebaliknya satu amanah besar yang mesti dipikul dengan penuh disiplin dan tanggungjawab. Penyerahan watikah kepada jentera dianggap sebagai mandat moral untuk berada di barisan hadapan sepanjang tempoh PRN.
Tekanan Perpaduan & Rumus “3A”
Beliau turut mengingatkan ahli supaya mengetepikan pertelingkahan dalaman dan menekankan perpaduan sebagai kunci kemenangan. Rumus “3A” – Asah, Asih dan Asuh diperkenalkan sebagai pegangan, iaitu memperkukuh pemikiran, memupuk kasih sayang sesama insan dan alam, serta membimbing satu sama lain.
Menepis Tuduhan “Proxy”
Menjawab tohmahan bahawa PKDM kononnya parti “proxy”, Datuk Rusdin menegaskan bahawa PKDM adalah parti sah yang lahir melalui proses demokrasi. Beliau menekankan perjuangan parti ini berlandaskan keikhlasan demi keselamatan, keselesaan dan kesejahteraan rakyat.
“Perjuangan… jangan ajak kami bermain-main tentang ketakutan, urat takut kami sudah putus,” katanya disambut sorakan hadirin.
Naratif Kesejahteraan Rakyat
Dalam ucapannya, Datuk Rusdin turut menggunakan perumpamaan seperti “bahtera dipukul ombak” dan “driver serta penumpang” untuk menggambarkan mandat rakyat dalam menegur serta memilih kepimpinan yang mampu membawa kesejahteraan.
Beliau menutup ucapan dengan menyeru jentera agar menjadi enjin penggerak yang ikhlas, konsisten dan komited sehingga selesai pilihan raya.