TAMBUNAN, 26 Ogos 2023 (Sabtu) – Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Bahagian N39 Tambunan melakar perkembangan besar apabila sehingga kini telah berjaya menubuhkan 53 cawangan dengan lebih 4,500 borang keahlian diedarkan.
Majlis Perasmian Mesyuarat Cawangan Berkelompok berlangsung di Teratak Datuk Amelia Ajun, Kampung Galiung Tambunan, dan dirasmikan oleh Ketua Bahagian PGRS N39 Tambunan, YBhg. Dato’ Victor P. Paut.
Dalam ucapannya, Dato’ Victor menyampaikan penghargaan kepada semua AJK Bahagian termasuk sayap Wanita, Pemuda, Beliawanis, Ketua-Ketua Cawangan dan para perwakilan yang hadir.
Beliau menjelaskan, kehadiran Gagasan Rakyat di Tambunan adalah bagi memperkukuh sokongan akar umbi terhadap Gabungan Rakyat Sabah (GRS), sekali gus memperlihatkan sokongan padu kepada kepimpinan YAB Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, selaku Presiden PGRS.
“Hasrat dan sasaran kita adalah untuk mencapai 10,000 ahli PGRS Tambunan. Walaupun bukan mudah, ia tidak mustahil dicapai jika kita terus bersatu dan bekerja keras,” tegas beliau.
Majlis perasmian yang berlangsung pada jam 4 petang itu turut dihadiri lebih 300 perwakilan, 100 pemerhati, selain 100 ahli baharu yang mendaftar pada hari yang sama.
Selepas perasmian, turut diadakan penyerahan borang keahlian daripada empat cawangan baharu iaitu:
- Cawangan Tontolob Liwan
- Cawangan Libang Ulu
- Cawangan Tinompok Liwan
- Cawangan Tibabar
- Cawangan Molout
Dato’ Victor turut menyerahkan sumbangan kebajikan kepada beberapa penerima termasuk Puan Yumoi Bin Kilog, Encik Sim Lek Cho, Sius Amit Gimbang serta Richard Pius yang mewakili Wataniah Daerah Tambunan.
Sumber: Parti Gagasan Rakyat Sabah – Tambunan