Orang selalu tanya – “Orang muda baca manifesto ka masa PRN nanti?”
Jujur saya katakan, tidak ramai. Zaman sudah berubah. Anak muda bukan lagi generasi yang rajin menelaah dokumen panjang berpuluh muka surat. Tetapi jangan salah anggap, itu bukan bermaksud mereka tidak peduli.
Mereka peduli, cuma bahasa komunikasi mereka berbeza.
Hari ini, bahasa anak muda ada dalam video TikTok 30 saat, lagu indie tempatan, drama pendek di Facebook atau YouTube, malah komik digital yang sinis tapi menusuk. Semua ini boleh jadi soft campaign – masuk perlahan-lahan tanpa paksaan.
Bayangkan hampir 970,000 pengundi muda di Sabah akan terdedah kepada konten yang bercerita tentang isu tanah, peluang kerja, hak mereka, masa depan negeri – bukan dalam bentuk khutbah politik, tetapi dalam bentuk karya kreatif. Itu bukan sekadar hiburan, tapi juga pendidikan emosi.
Namun, kesannya bergantung pada dua perkara. Pertama, kebebasan berkarya – kalau terlalu dikawal, ia hilang taring. Kedua, keberanian pencipta – kerana walaupun anak muda suka konten kreatif, mereka juga cepat bosan. Konten mesti asli, jujur, dan kena pada jiwa.
Kesimpulannya, industri kreatif boleh jadi senjata senyap untuk mempengaruhi hampir sejuta pengundi muda di Sabah. Bukan dengan manifesto yang tebal, tetapi dengan cerita yang membuat mereka rasa: “ini hidup kita.”
Maka nasihat saya kepada bakal calon – berbaik-baiklah dengan soft political influencer. Mereka bukanlah orang yang akan berkata “undi si anu atau parti ini”, tetapi cara mereka bercerita boleh mengubah pandangan ramai. Kadang-kadang, pengaruh mereka datang daripada keberanian untuk jujur, walaupun cuma melalui sebuah video 30 saat.