RANAU, 20 Sept – Mudir Madrasah Rumah Transit Mualaf Sabah (MRTMS), Nazri Abdullah (juga dikenali sebagai Nazri Aldusuni) tampil menegur segelintir pengurus maahad tahfiz, pondok dan madrasah di Sabah yang menurutnya lebih mementingkan kuantiti pelajar daripada kualiti pendidikan.
Dalam hantaran di Facebook, beliau menyifatkan tindakan sesetengah pihak yang hanya mengejar jumlah pelajar ibarat parti politik yang sibuk mencari penyokong tetapi mengabaikan mutu pengajaran.
“Tiada makna sebuah institusi yang hanya tahu melambak dan meramaikan pelajar jika tidak berkemampuan menyediakan guru yang cukup dan ahli,” katanya.
Nazri turut menegur dakwaan tidak berasas oleh pihak tertentu yang sesuka hati menilai pusat pengajian lain, malah sehingga berani “mengecop” pelajar tanpa proses yang sah.
“Lebih dahsyat, ada yang menceritakan perkara berkaitan MRTMS padahal mereka sendiri tidak tahu hujung pangkalnya,” ujarnya lagi.
Beliau mengingatkan supaya mereka yang baharu dalam bidang pendidikan agama tidak mudah berlagak hanya kerana memiliki jawatan.
“Kamu itu baru seumur jagung, baru duduk sebagai guru besar pun sudah berlagak. Fail pembohongan kamu ada dalam poket saya. Jaga mulut kamu, jangan buat cerita dan jangan jadi perompak duit pelajar!” tegasnya.
Reaksi Netizen
Di ruangan komen, seorang pengguna, Hasrul AdDussuni Al Qoniyyah, mendoakan agar isu ini dapat diselesaikan dengan baik:
“Allahu.. semoga ada solusi selanjutnya agar tidak berpanjangan.”
Tentang MRTMS
Madrasah Rumah Transit Mualaf Sabah (MRTMS) yang berpusat di Lohan, Ranau dan mempunyai cawangan di Salimandut (Tandek), Kota Marudu, ditubuhkan pada tahun 2013. Ia merupakan institusi pendidikan Islam percuma yang memberi fokus kepada pengajian Asas Fardhu Ain dan Fardhu Kifayah, khususnya kepada golongan mualaf.
MRTMS diuruskan oleh Persatuan Pendakwah Islam Sabah dan menjadi antara madrasah perintis konsep Madrasah Dalam Taman di negeri ini.
Sumber: Nazri Aldusuni Facebook