Musa Aman Mengaku Kalah

0 7,933

PUTRAJAYA: Bekas ADUN Sungai Sibuga Musa Aman menarik balik rayuan bagi deklarasi bahawa beliau adalah ketua menteri Sabah yang sah selepas pilihan raya negeri (PRN) ke-15 pada Mei 2018.

Perayu nominal, ADUN Tamparuli, Jahid @ Noordin Jahim, juga menarik balik rayuan beliau.

Musa, 69, yang menjadi ketua menteri selama 15 tahun dari 2003, mengemukakan saman terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah Juhar Mahiruddin dan Shafie Apdal.

Peguam Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin, yang mewakili Jahid, memaklumkan panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan oleh Rohana Yusuf, penarikan balik rayuan itu disebabkan oleh perubahan dalam kerajaan selepas PRN September lalu.

“Lebih baik fokus kepada keharmonian dan tidak ada gangguan di negeri ini,” kata beliau.

Peguam Musa, Tengku Fuad Ahmad, menerima pakai penghujahan Firoz.

Rohana, pengerusi panel yang juga dianggotai Abang Iskandar Abang Hashim dan Mohd Zawawi Salleh, kemudian membatalkan rayuan Musa dan Jahid.

Panel mengarahkan Musa dan Jahid membayar kos sebanyak RM60,000 dan RM20,000 masing-masing kepada Shafie, yang diwakili Cyrus Das and Douglas T Lind.

Ia tidak mengarahkan kos dibayar kepada Juhar kerana Pejabat Peguam Negara telah bersetuju untuk tidak membuat tuntutan selepas peguam Musa dan Jahid memaklumkan mereka tentang penarikan balik tersebut.

Peguam kanan negeri Brendon Soh mewakili Juhar dalam prosiding yang dilakukan secara maya itu.

Firoz sebelum ini menggesa mahkamah untuk tidak meluluskan sebarang bayaran bagi kos kerana kes ini adalah berkenaan isu perlembagaan yang menjadi kepentingan umum.

Lind berkata, kos harus dibayar kerana perayu hanya memaklumkan mahkamah mengenai penarikan balik rayuan minggu lalu dan tidak mengemukakan sebarang permohonan bertulis.

Kata Das, “perubahan keadaan” telah berlaku selama sekitar enam bulan tetapi mereka hanya dimaklumkan mengenai penarikan balik rayuan tersebut baru-baru ini.

Krisis perlembagaan itu tercetus selepa Juhar mengisytiharkan Shafie sebagai ketua menteri pada 10 Mei 2018, kurang 48 jam selepas dia melantik semula Musa.

Jahid telah menyaman Shafie, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Syed Abas Syed Ali dan Setiausaha Perundangan Bernard J Dalinting.

Mahkamah Persekutuan, dalam keputusan majoriti 2-1 pada 26 Ogos, membenarkan permohonan kebenaran oleh Musa dan meluluskan 10 persoalan perlembagaan untuk dibahaskan semasa rayuan.

Hakim Abdul Rahman Sebli berkata, merit rayuan itu harus didengar kerana persoalan undang-undang yang diajukan sangat penting.

Beliau berkata, rakyat Sabah mempunyai hak untuk mengetahui sama ada penyingkiran Musa dilakukan mengikut Perlembagaan Sabah. Hakim Zabariah Mohd Yusof bersetuju dengan beliau.

Dalam penghakiman bertulis beliau kemudian, Rahman berkata, umum sedia maklum bahawa kemelut politik 2018 dan krisis perlembagaan itu bukanlah yang pertama dihadapi rakyat Sabah.

“Ia tidak akan menjadi yang terakhir, jika tidak diselesaikan oleh mahkamah ini,” kata beliau, merujuk kepada ketidakstabilan politik yang tercetus selepas pilihan raya negeri pada 1985 dan 1994.

Mohd Zawawi Salleh, yang membuat keputusan minoriti, berkata permohonan kebenaran itu bersifat akademik kerana Suruhanjaya Pilihan Raya telah menetapkan hari penamaan calon untuk mengadakan pilihan raya Sabah ke-16 pada 26 Sept tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi Yew Jen Kie, yang membatalkan tuntutan Musa untuk mencabar kesahihan pelantikan Shafie, telah menyebut keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2010 dalam kes Perak sebagai contoh terdahulu.

Kata Yew, kes itu telah menetapkan prinsip-prinsip perundangan bahawa tidak ada syarat wajib bagi usul tidak percaya terhadap seorang ketua menteri sebelum dia boleh dianggap kehilangan sokongan majoriti ahli DUN.

Pada Mac tahun lalu, panel tiga hakim mahkamah juga menolak rayuan Musa kerana dianggap bersifat akademik.

Pada pilihan raya 9 Mei 2018, Musa, yang memimpin Barisan Nasional (BN), memenangi 29 kerusi.

Pakatan pembangkang, yang terdiri dari Warisan pimpinan Shafie, DAP dan PKR, memperoleh 29 kerusi sementara STAR memenangi dua kerusi.

BN dan STAR, yang memiliki 31 kerusi dalam DUN yang dianggotai 60 ahli, menyertai kerajaan gabungan, dan ini membolehkan Musa dilantik sebagai ketua menteri.

Namun, dua hari kemudian, lima ADUN daripada UPKO menyertai kem Shafie dan beliau kemudian mengangkat sumpah sebagai ketua menteri.

Ini menyebabkan Musa memohon deklarasi mahkamah yang menyatakan beliau merupakan ketua kerajaan yang sah kerana usul tidak percaya terhadap beliau belum dikemukakan.

Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang memenangi pilihan raya negeri tahun lalu membentuk kerajaan negeri yang baharu. GRS, yang terdiri daripada PN, BN dan PBS, memenangi 38 kerusi, dengan PN memperoleh 17 kerusi, BN 14 dan PBS tujuh.

Warisan Plus, yang dianggotai Warisan, DAP, PKR dan Upko, memenangi 32 kerusi. Tiga kerusi lagi dimenangi oleh calon bebas, yang mengiktiraf diri mereka sebagai sekutu GRS dalam kerajaan negeri.

– FMT-

Leave A Reply

Your email address will not be published.