KOTA KINABALU, 19 Sept – Prosiding inkuis kes kematian pelajar, Zara Qairina, kecoh selepas Koroner Amir Shah Amir Hassan melahirkan rasa kecewa apabila kenyataan saksi remaja pertama tersebar di media sosial.
Remaja tersebut sepatutnya memberi keterangan hari ini, namun prosiding ditangguhkan hingga Isnin depan kerana faktor keselamatan dan tekanan emosi saksi.
Arahan Koroner
- Laporan polis mesti dibuat berhubung penularan kenyataan saksi.
- Prosiding seterusnya akan dijalankan secara tertutup.
Permohonan Peguam Bela
Peguam Datuk Ram Singh (wakili remaja yang didakwa membuli) memohon agar identiti saksi dan ibunya dilindungi selepas mereka dikatakan menjadi takut serta tertekan.
Nama dan alamat kelima-lima tertuduh juga didakwa tersebar di TikTok, sekali gus meningkatkan risiko terhadap keselamatan mereka.
Keterangan Saksi Kelapan
Ketua Warden Asrama & Guru Bahasa Arab, Azhari Abd Sagap, menamatkan keterangannya hari ini.
Beliau mendedahkan ibu Zara, Noraidah Lamat, ada memaklumkan pada 16 Julai bahawa anaknya rajin mencatat nama pelajar yang tidak solat atau belum mandi wajib dalam sebuah diari ungu.
Azhari turut mengesahkan Noraidah tidak pernah memberitahu bahawa Zara ada mengadu masalah di sekolah.
Tindakan Lanjutan
Prosiding akan bersambung Isnin depan dengan keterangan saksi remaja berkenaan.
Kes ini terus mencuri perhatian kerana melibatkan isu perlindungan saksi remaja dan kawalan terhadap maklumat prosiding mahkamah daripada tular di media sosial.
Sumber: BERNAMA / Jabatan Penerangan Malaysia