KOTA KINABALU, 24 Sept – Prosiding inkues kematian pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir, terus membuka fakta baharu apabila seorang pengawal keselamatan mendakwa telefon awam di asrama SMKA Tun Datu Mustapha, Papar ditutup selama dua hari selepas insiden pelajar itu ditemui tidak sedarkan diri.
Saksi keenam, Linah Mansoding @ Jaliha, 65, memberitahu Mahkamah Koroner bahawa suis telefon awam di dua blok asrama sekolah berkenaan diarahkan untuk ditutup oleh ketua warden bermula 16 Julai lalu.
“Telefon awam ditutup dua hari, dua malam… sebab takut budak-budak telefon ibu bapa,” katanya ketika menjawab soalan peguam keluarga Zara, Shahlan Jufri.
Linah turut menjelaskan bahawa pelajar biasanya menggunakan kad prabayar untuk membuat panggilan, namun jika baki tiada, mereka akan meminjam telefon bimbit daripada pengawal keselamatan.
Penemuan Mengejutkan
Linah merupakan individu yang menemui Zara Qairina kira-kira jam 3 pagi, 16 Julai, dalam keadaan terlentang di longkang dengan kesan darah pada tengkuk. Zara kemudian disahkan meninggal dunia pada 17 Julai di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.
Lawatan Lokasi Prosiding
Koroner Amir Shah Amir Hassan memaklumkan beliau bersama pendakwa raya, peguam serta pakar patologi Dr Jessie Hiu akan mengadakan lawatan ke lokasi kejadian di sekolah berkenaan pada 9.30 pagi esok. Bagaimanapun, pengamal media tidak dibenarkan masuk ke kawasan sekolah semasa lawatan itu.
Prosiding akan bersambung semula di mahkamah selepas lawatan selesai.
Latar Kes
Pada 8 Ogos lalu, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan kubur Zara digali semula bagi membolehkan bedah siasat kedua dilakukan. Susulan itu, pada 13 Ogos, AGC memutuskan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan polis.
Sumber: Artikel dari Sabah Post