KUALA LUMPUR: Detik pembebasan 23 rakyat Malaysia yang ditahan tentera Israel ketika menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) kian hampir, apabila mereka dijangka dibawa keluar oleh Kerajaan Turkiye ke Istanbul dalam tempoh satu hingga dua hari lagi.
Menurut laporan Utusan Malaysia, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha pembebasan itu sedang diatur hasil kerjasama rapat Malaysia dengan Turkiye, Qatar dan Amerika Syarikat. Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan dilaporkan menugaskan Ketua Keselamatan, Dr. Ibrahim Kalin untuk membantu proses membawa pulang peserta GSF.
“Anak-anak kita di sana semuanya dalam keadaan selamat walaupun ditahan secara zalim. Tugas utama saya ialah mencari jalan menyelamatkan mereka dengan apa juga cara munasabah,” kata Anwar.
Beliau turut menghubungi Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, serta Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed Bin Abdulrahman Al-Thani bagi mendapatkan sokongan diplomatik.
Difahamkan, rundingan bersama pihak Turkiye mencapai persefahaman awal untuk menempatkan 23 rakyat Malaysia dalam penerbangan khas ke Istanbul bersama-sama tahanan warga Turkiye lain.
Dari Istanbul, kerajaan Malaysia akan menguruskan kepulangan mereka ke tanah air. Walaupun begitu, Anwar menegaskan jaminan penuh belum dapat diberi kerana ia melibatkan kuasa rejim Israel.
“Yang benar-benar boleh mempengaruhi Israel ialah Amerika Syarikat. Sebab itu kita gunakan saluran Qatar dan Turkiye untuk menyampaikan pandangan kita,” katanya.
Situasi ini terus dipantau rapi dan kerajaan menyeru seluruh rakyat untuk bersama berdoa demi keselamatan para sukarelawan GSF.
Sumber: Utusan Malaysia