SANDAKAN, 27 Sept – Pantai Timur Sabah kini mencatat pencapaian membanggakan apabila tiada sebarang insiden culik untuk tebusan (Kidnap-For-Ransom, KFR) direkodkan sejak Januari 2020 di bawah kawalan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata kejayaan ini bukan kebetulan tetapi hasil perancangan rapi, koordinasi berkesan dan penugasan aset keselamatan oleh PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang beroperasi dalam satu sistem komando pusat.
“Dulu jenayah culik untuk tebusan berleluasa. Kini, sejak 2020, sifar kes direkodkan. Ini bukannya terjadi dengan sendiri, tetapi hasil strategi penugasan, pemantauan, kesiapsiagaan serta keupayaan aset ESSCOM,” katanya selepas meninjau Program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) bersama anggota polis di Sandakan, hari ini.
Pantai Timur Sabah Kembali Jadi Tumpuan
Saifuddin berkata, kerajaan akan terus memperkukuh peranan ESSCOM supaya keselamatan di pantai timur Sabah terjamin, sekali gus menyokong pembangunan ekonomi dan pelancongan.
“Keamanan ini memberi keyakinan kepada kerajaan untuk kembali mempromosikan potensi pelancongan pantai timur dengan menjemput diplomat serta wakil asing melawat kawasan ini, termasuk pulau-pulau. Malah ada negara yang sudah mula menarik semula amaran perjalanan mereka,” katanya.
Lonjakan Penerbangan Antarabangsa
Menurutnya, kesan keamanan jelas kelihatan, antaranya peningkatan trafik penerbangan antarabangsa di Lapangan Terbang Tawau.
“Kini, hanya penerbangan dari China sudah mencecah empat hingga lima sehari. Dengan sembilan kaunter imigresen sedia ada, keadaan semakin sesak. Ini bukti sektor pelancongan sudah kembali rancak,” katanya.
Beliau menegaskan, kejayaan ini menggambarkan tahap kesiapsiagaan ESSCOM yang tinggi dan keberkesanan strategi keselamatan yang dilaksanakan.
Sumber: BERNAMA