SEMPORNA, 23 Sept – Empat rumah tidak kekal musnah dalam kebakaran di Kampung Pekan 2, petang Selasa.
Menurut Pengganti Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, Norhaini Jumdani, kejadian berlaku sekitar jam 6.30 petang dan pihak bomba menerima panggilan kecemasan menerusi talian MERS999 pada jam 6.46 petang.
Tindakan Pantas Bomba
Sepasukan 10 anggota dari BBP Semporna dan BBP Air Semporna digerakkan ke lokasi dan tiba kira-kira lima minit kemudian.
Hasil pemeriksaan mendapati kebakaran melibatkan empat rumah tidak kekal, dengan dua daripadanya musnah sepenuhnya, manakala dua lagi mengalami kerosakan antara 10 hingga 20 peratus.
“Operasi pemadaman menggunakan satu aliran sepanjang 300 kaki dengan kaedah offensive, bersumberkan air daripada jentera. Api berjaya dikawal pada jam 7.20 malam dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.12 malam,” katanya.
Tiada Mangsa, Punca Dalam Siasatan
Norhaini mengesahkan tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kebakaran itu. Punca kejadian serta anggaran kerugian masih dalam siasatan.
Selain bomba, operasi turut dibantu oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengawal keadaan di lokasi.
📌 Sumber: Utusan Borneo (23 September 2025)