KUALA LUMPUR, 24 Sept — Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan bahawa Daftar Pemilih Tambahan (DPT) Bulan Ogos 2025 (DPT BLN8/2025) kini dibuka untuk semakan mulai hari ini sehingga 23 Oktober 2025.
Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, daftar pemilih kali ini mengandungi:
- 55,047 nama baharu warganegara berumur 18 tahun ke atas yang didaftarkan secara automatik dalam tempoh 1 hingga 31 Ogos 2025,
- 13,598 pemilih berdaftar yang menukar bahagian pilihan raya, dan
- 2,198 pemilih yang menukar kategori pengundi atau status.
“SPR menyeru warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 hingga 31 Ogos 2025 serta pemilih berdaftar yang membuat permohonan pertukaran bahagian pilihan raya atau kategori pengundi untuk menyemak nama mereka dalam DPT BLN8/2025,” katanya dalam kenyataan rasmi.
Semakan boleh dibuat melalui:
- Portal SPR: www.spr.gov.my
- MySPR Semak: mysprsemak.spr.gov.my
- Portal rasmi Pejabat Pilihan Raya Negeri: ppn.spr.gov.my
- Aplikasi dalam talian: myspr.spr.gov.my
- Aplikasi mudah alih MySPR Semak
- Hotline SPR: 03-8892 7218
Bagi pemilih yang mendapati nama mereka tidak tersenarai, tuntutan boleh dibuat melalui Borang C, manakala bantahan terhadap kemasukan nama boleh dikemukakan melalui Borang D.
— Sumber: Bernama (bernama.com)