JAKARTA – Sutradara prolifik Indonesia, Anggy Umbara, terus mengukuhkan reputasi sebagai pengarah filem komersial paling berjaya di negara itu dengan rekod kutipan jutaan penonton, termasuk dua fenomena besar: WARKOP DKI REBORN (2016) dan VINA: Sebelum 7 Hari (2024).
Filem WARKOP DKI REBORN mencatat 6.2 juta penonton dengan kutipan kasar (GBO) sekitar USD18 juta, sekali gus menempatkannya di ranking No.1 carta box office Indonesia selama enam tahun berturut-turut sebelum dipintas oleh KKN Desa Penari pada 2022. Hingga kini, filem tersebut kekal di tangga keempat rekod sepanjang zaman.
Sementara itu, VINA: Sebelum 7 Hari yang ditayangkan pada Mei 2024 mencatat 5.8 juta penonton dengan GBO USD15 juta, menjadikannya filem ke-8 paling laris di Indonesia.
Rekod Cemerlang Anggy Umbara
- 9 filem komersial terbaik dengan jumlah keseluruhan 28.2 juta penonton
- Penerima anugerah Sutradara Terbaik Festival Filem Wartawan Indonesia 2021
- Sejajar dengan nama besar lain: Hanung Bramantyo (Miracle In Cell No.7), Awi Suryadi (KKN Desa Penari), Joko Anwar (Pengabdi Setan), Fajar Bustomi (Dilan 1990), dan Riri Riza (Laskar Pelangi)
Pertemuan dengan Anggy Umbara di kantor Umbara Brothers, Jakarta Selatan turut dihadiri oleh Tuan Onn Norshal Hamzah, bekas Ahli Lembaga Pengarah FINAS, bekas Pengerusi Wajib Tayang FINAS dan kini CEO 10 Stars Cinemas. Dalam pertemuan itu, Anggy berkongsi pandangan mengenai perkembangan dan cabaran industri filem Indonesia, di samping membuka ruang kerjasama strategik bersama 10 Stars Cinemas.
Selain dunia pengarahan, Anggy juga seorang ahli muzik. Dalam kunjungan tersebut, Onn Norshal sempat berkongsi momen santai apabila diminta menyanyikan dua lagu, Original Sabahan dan Proton Saga Kelabu, sebelum sesi diakhiri dengan jamuan tengah hari yang pedas tetapi penuh kenangan.
“Terima kasih Pak Anggy atas jemputan serta ilmu yang dikongsikan. Perjalanan masih panjang dan semoga kerjasama ini terus berkekalan,” kata Onn Norshal.
Secara keseluruhan, Anggy Umbara kini bukan sahaja ikon perfileman Indonesia, tetapi juga simbol kebangkitan industri kreatif Nusantara yang mampu membuka ruang kolaborasi lebih besar dengan Sabah dan Malaysia.