KOTA KINABALU: Sepasang bekas suami isteri yang didakwa membunuh pembantu rumah mereka masing masing dijatuhi hukuman penjara 34 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.
Hakim Datuk Dr Lim Hock Leng turut memerintahkan tertuduh pertama, Mohammad Ambree Yunos @ Unos, 44, dikenakan 12 sebatan rotan. Sementara itu, Etiqah Siti Noorashikeen Mohd Sulong, 37, dikecualikan daripada hukuman sebatan mandatori atas faktor jantina, mengikut Seksyen 289 Kanun Tatacara Jenayah.
Di dalam kandang tertuduh, Ambree kelihatan tenang, manakala bekas isterinya, Etiqah, dilihat menutup wajah dan menundukkan kepala dalam keadaan sedih.
Ambree, seorang kontraktor, dan Etiqah, bekas finalis program realiti masakan, didapati bersalah membunuh pembantu rumah mereka, Nur Afiyah Daeng Damin, 28, antara 8 hingga 11 Disember 2021 di sebuah kondominium di Penampang.
Mereka disabitkan bersalah di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun serta, jika tidak dijatuhi hukuman mati, hendaklah dihukum sebatan tidak kurang 12 kali.
Lim menyatakan pihak pendakwaan telah membuktikan kes ini melampaui keraguan munasabah, manakala pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan terhadap pertuduhan.
Lim antara lain berkata pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan secara jelas elemen elemen penting termasuklah mangsa mati akibat kecederaan; kecederaan tersebut dilakukan oleh tertuduh dengan niat mengikut Seksyen 300(c) Kanun Keseksaan; dan mereka bertindak dengan niat bersama.
Dalam menjatuhkan hukuman, mahkamah menegaskan bahawa, walaupun kedua dua peguam bela mengemukakan rayuan secara bersungguh-sungguh, mahkamah tidak boleh mengabaikan kekejaman yang dialami mangsa di tangan kedua dua tertuduh seperti yang telah dihujahkan oleh pihak pendakwaan.
Mahkamah turut mengambil kira jenis kecederaan dan cara ia dilakukan dalam tempoh masa yang panjang.
Terdahulu, walaupun Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 telah berkuat kuasa, Timbalan Pendakwa Raya Dacia Jane Romanus memohon agar mahkamah tetap menjatuhkan hukuman mati.
Beliau berhujah bahawa kes itu mengejutkan bukan sahaja rakyat Sabah tetapi seluruh negara, justeru perlu dikenakan hukuman paling berat.
“Si mati adalah seorang wanita muda yang meninggalkan kampung halamannya untuk bekerja secara jujur dan mencari rezeki semasa pandemik global. Ketika orang lain berlindung di rumah demi keselamatan, si mati pula mengalami penderitaan yang berpanjangan di tempat kerjanya, yang akhirnya menjadi lokasi kematian tragisnya,” katanya.
Tambahnya, tertuduh, sebagai majikan, sepatutnya menyediakan tempat tinggal, makanan dan perlindungan. Sebaliknya, si mati telah diseksa setiap hari, dinafikan hak asasi dan akhirnya diragut nyawanya.
Dacia berkata bukti keterangan di mahkamah menunjukkan video dan imej yang diperoleh daripada telefon bimbit tertuduh merupakan bukti nyata penyeksaan yang dialami si mati. Bukti ini bukan sahaja menyokong berlakunya penderaan, malah menunjukkan niat tertuduh untuk merakam dan menyimpan penderitaan mangsa.
Dacia juga menekankan keadaan mayat si mati sangat teruk sehingga suaminya sendiri hanya dapat mengenal pasti mayat itu melalui gelang yang dipakai di pergelangan tangan.
“Ini bukan pembunuhan akibat kemarahan atau provokasi. Ini adalah penderaan berpanjangan yang kejam dan disengajakan. Kecederaan yang dialami oleh si mati tidak berlaku sekaligus, tetapi dalam satu siri penyeksaan yang berterusan, yang jelas menunjukkan niat tertuduh untuk menyebabkan kematian.”
“Kami berhujah bahawa hukuman yang adil dan setimpal dalam kes ini ialah hukuman mati mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Undang-undang mesti mencerminkan nilai yang kita letakkan pada nyawa manusia dan dalam kes ini, keadilan menuntut hukuman paling berat,” katanya.
Namun, Dacia berkata, sekiranya mahkamah tidak cenderung menjatuhkan hukuman mati, ‘trend’ semasa bagi kes kematian akibat penderaan berpanjangan ialah penjara 40 tahun dan 12 sebatan.
Ambree diwakili Datuk Ram Singh, manakala Etiqah diwakili Datuk Seri Rakhbir Singh.
Kedua-dua tertuduh, yang sebelum ini dibebaskan dengan jaminan, diperintahkan untuk menjalani hukuman penjara serta-merta bermula hari ini, iaitu pada tarikh sabitan.
Kes ini dibawa ke mahkamah buat pertama kali pada 29 Disember 2021 dan pasangan itu mengaku tidak bersalah serta memohon untuk dibicarakan pada 17 November 2022. – Sabah Media