KOTA BELUD: Seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan termasuk lori di Jalan Kota Belud – Tuaran, dekat Bukit Kelawat, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian jam 7.10 pagi itu, penunggang motosikal lelaki berusia 44 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, kemalangan membabitkan tiga kenderaan iaitu lori 10 tan, pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dan motosikal.
“Hasil siasatan di tempat kejadian mendapati lori dipandu seorang lelaki berusia 51 tahun telah hilang kawalan ketika menuruni bukit.
“Lalu terlanggar kenderaan Toyota Hilux yang dipandu lelaki berusia 35 tahun dan sebuah motosikal dipandu mangsa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, pemandu lori dan Toyota Hilux tidak mengalami sebarang kecederaan manakala penunggang motosikal parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Belud untuk tindakan selanjutnya.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Sehubungan itu, Shahrudin menasihati orang ramai supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu dan patuhi undang-undang jalan raya serta pastikan kenderaan dalam keadaan baik. – Info X