ADUN Tulid Perlu Rujuk Tarikh RUU Cukai Jualan Diluluskan Dan Tarikh Bermula Arahan

0

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merotai, Sarifuddin Hata memulang paku buah keras kepada pemimpin Parti Solidariti Tanah Airku (Star) yang menafikan peranan Parti Warisan Sabah dalam menuntut lima peratus cukai jualan daripada Petronas serta mendakwa ia hasil usaha parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Sarifuddin berkata, kenyataan ADUN Tulid, Flovia Ng amat melucukan dan membuktikan beliau tidak mempunyai pengetahuan bahawa cukai jualan itu perlu diluluskan terlebih dahulu di Dewan Undangan Negeri (DUN) sedangkan sejak GRS memerintah, belum ada sidang DUN diadakan.

Beliau berkata, Flovia perlu merujuk kembali bila tarikh Rang Undang-Undang (RUU) Cukai Jualan Lima Peratus diluluskan iaitu pada April tahun ini semasa zaman Warisan dan surat arahan pembayaran juga telah dikeluarkan tahun ini ketika Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal masih menerajui Sabah.

“Jika kedua-dua tarikh ini diperoleh saya rasa kenyataan dia itu memakan diri kalau dia tidak boleh akses kepada Kementerian Kewangan mungkin dia boleh minta pandangan atau pun maklumat daripada Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr. Jeffrey Kitingan sendiri.

“Kita sedia maklum bahawa semasa pembentangan dan kelulusan rang undang-undang itu pada masa itu ADUN Tulid belum lagi menjadi wakil rakyat dan tidak berada di DUN,” katanya.

Sehubungan itu, Sarifuddin mengingatkan Flovia agar membuat kajian terperinci terlebih dahulu sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan lebih-lebih lagi bertujuan untuk mendapat nama hasil daripada usaha yang dilakukan Mohd. Shafie sebelum ini.

Katanya, surat arahan pembayaran cukai jualan lima peratus daripada Kementerian Kewangan Sabah kepada syarikat pengendali petroleum di Sabah mempunyai tarikh jelas iaitu sebelum GRS belum pun wujud lagi.

“Kenyataan ADUN Tulid itu juga sangat melucukan kerana zaman GRS sekarang satu bulan lebih tarikh bersidang yang pertama pada 12 dan 16 November, jika GRS mahu ambil nama atau Jeffrey mahu kata cukai jualan itu hasil zaman mereka tidak munasabah kerana GRS belum bersidang.

“RUU ini harus dibawa ke DUN dan diluluskan terlebih dahulu maknanya ADUN Tulid belum faham dan tidak tahu berkenaan kelulusan sesuatu RUU, jadi kenyataannya mengatakan saya membuat kenyataan memalukan dan melucukan saya kembalikan kepada beliau dan minta beliau rujuk tarikh tersebut iaitu pada bulan April 2020,” tambah Sarifuddin.

Kita sedia maklum bahawa semasa pembentangan dan kelulusan rang undang-undang itu pada masa itu ADUN Tulid belum lagi menjadi wakil rakyat dan tidak berada di DUN

Sarifuddin Hata ADUN Merotai

Leave A Reply

Your email address will not be published.