BELANJAWAN 2021, SABAH SEPERTI DIANAKTIRIKAN – AZIS JAMMAN

0

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd Azis Jamman melihat pengurangan peruntukan pembangunan dan geran khas untuk Sabah dalam Belanjawan 2021 sebagai tindakan mengabaikan dan menganak tirikan rakyat Sabah.

Beliau berkata, Belanjawan 2021 kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak seperti diharapkan oleh rakyat Sabah yang kini begitu terkesan dengan pandemik Covid-19.

Ketika kerajaan negeri sehaluan dengan kerajaan persekutuan, peruntukan pembangunan dan geran khas untuk Sabah dikurangkan. Semasa Pakatan Harapan (PH) peruntukan geran khas sepatutnya meningkat daripada RM 53.4 juta tahun ini kepada RM106.8 juta selepas lima tahun.

Namun, apa yang berlaku adalah sebaliknya, peruntukan geran khas itu dikurangkan kepada RM26.7 juta dalam Belanjawan 2021.

Malah, dalam belanjawan kali ini, peruntukan pembangunan untuk negeri Sabah menyusut apabila hanya RM5.1 bilion bakal disalurkan berbanding RM5.2 bilion yang diperuntukkan kerajaan PH.

“Saya melihat langkah kerajaan PN ini sebagai satu lagi tindakan yang tidak adil serta berat sebelah kepada rakyat Sabah, seolah-olah menganaktirikan rakyat Sabah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pelbagai janji dibuat bahawa kerajaan persekutuan tidak akan mengabaikan kebajikan rakyat Sabah.

Ketua Wira Warisan Sabah ini berkata, lebih mengecewakan dan tidak masuk akal adalah peruntukan RM81 juta untuk menghidupkan kembali unit propaganda kerajaan, Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA). Ini adalah pembaziran wang rakyat kerana unit ini hanya untuk propaganda politik semata-mata.

“Saya mengecam dan membantah sama sekali langkah kerajaan persekutuan memotong peruntukan geran khas dan pembangunan untuk negeri Sabah ini.

Saya menggesa supaya wang RM81 juta itu disalurkan untuk tujuan menjaga kebajikan rakyat khususnya rakyat Sabah yang terjejas teruk akibat pandemik ini.

Azis Jamman Ahli Parlimen Sepanggar

“Adakah peruntukan kepada rakyat Sabah ini dipotong agar dana itu boleh digunakan bagi menghidupkan semula unit propaganda kerajaan, JASA yang tidak memberi apa-apa manfaat kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Menurutnya, peruntukan untuk JASA itu sepatutnya digunakan bagi menyalurkan lebih banyak dana untuk membela kebajikan rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Katanya, kerajaan persekutuan sepatutnya lebih peka dan prihatin terhadap kesengsaraan serta kesusahan dihadapi oleh rakyat ketika ini.

“Jika dilihat ramai rakyat yang kehilangan pekerjaan dan punca pendapatan.

“Saya menggesa supaya wang RM81 juta itu disalurkan untuk tujuan menjaga kebajikan rakyat khususnya rakyat Sabah yang terjejas teruk akibat pandemik ini,” ujarnya.

– BorneoToday.net

Leave A Reply

Your email address will not be published.