Tiga individu termasuk dua Adun bakal didakwa

sabah-update-1-sabah-baki2.png

Kota Kinabalu: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijangka mendakwa tiga individu termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) berhubung siasatan Op Adun, bulan ini.

Ketua Pesuruhjayanya Tan Sri Azam Baki ketika mengesahkan perkara itu berkata, ketiga-tiga individu terbabit terdiri dua Adun dan seorang orang awam.

“Mereka dalam proses untuk ditangkap, dan kami perlu memaklumkan mereka. Mereka dalam proses dipanggil dan masih dalam proses untuk dirakam keterangan di bawah Kenyataan Beramaran.

“Tarikh mereka perlu dikemukakan ke mahkamah. Saya akan simpan dahulu, saya tidak akan maklumkan sehingga proses ini selesai.

“Tetapi yakinlah, individu-individu ini akan didakwa di mahkamah dalam bulan ini atau menjelang akhir bulan ini,” katanya sambil menambah ia bergantung kepada ketersediaan tarikh di mahkamah.

Azam berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Teknologi, Pengurusan Kelestarian di Universiti Teknologi MARA (UiTM), di sini, hari ini.

Ketika ditanya mengenai kesahihan video terkini dan asal, beliau berkata, perkara itu tidak boleh diperincikan kerana ia kini dianggap subjudis.

“Saya tidak boleh bincang lagi kerana ia akan menjadi subjudis. Saya serah kepada Timbalan Pendakwa Raya, yang akan menggunakan bukti itu di mahkamah jika mereka perlu menggunakannya.

“Tetapi yakinlah bahawa apabila menyiasat, kami tidak terlalu bergantung hanya pada bukti itu, sama ada ia tulen atau tidak. Tetapi kami juga perlu bergantung pada beberapa bukti lain.

“Penjelasan bukan sahaja dari audio visual, ia juga bergantung kepada penjelasan dari manusia, dari manusia itu sendiri,” katanya.

Terdahulu, SPRM melaksanakan Op Adun bagi menyiasat pembabitan Adun Sabah dalam isu pengeluaran lesen perlombongan.

Isu ini bermula apabila beberapa siri video yang disunting diterbitkan dalam portal berita dalam talian pada November tahun lalu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top