Dipatuk Ular Ketika Berwuduk

sabah-update-1-sabah-patuk.png

Kota Kinabalu: Lelaki cedera selepas dipatuk ular berbisa ketika berwuduk berhampiran tandas Taman Awam Pantai Tanjung Aru di sini, semalam.

Khidmat Petugas Menara Penyelamat Pantai (MPP) Tanjung Aru memberi rawatan awal kepada mangsa berusia 30-an sebelum dia dihantar ke hospital.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Kinabalu, Kapten (PA) Aizex Junior berkata, pihaknya menerima laporan daripada orang awam yang memaklumkan kejadian itu kepada petugas MPP Tanjung Aru, pada 2 petang.

Katanya, anggota bertugas di menara segera ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 200 meter untuk membuat penilaian awal terhadap mangsa.

“Hasil penilaian mendapati terdapat kesan patukan ular pada ibu jari kaki kanan mangsa. Mangsa memberitahu bahawa ular yang mematuknya berwarna hitam.”Berdasarkan keterangan itu, anggota bertugas mengenal pasti ular berkenaan sebagai spesis ular tedung”” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, anggota bertugas kemudian memberikan rawatan awal dengan membersihkan luka akibat patukan ular.

“Pada masa sama, anggota terbabit menghubungi Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Kota Kinabalu untuk meminta bantuan menghantar mangsa ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) menggunakan ambulans APM.

“Setiba di hospital mangsa diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut,” katanya. – Harian Metro

scroll to top