KOTA KINABALU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dijangka dibubarkan pada akhir Julai atau awal Ogos depan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Spekulasi mengatakan pembubaran dijangka diumumkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor selepas persidangan tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) yang dijadual pada akhir Julai.
Malah, ada penganalisis politik turut meramalkan kemungkinan Hajiji selaku Presiden Gagasan Rakyat mengumumkan pembubaran DUN dalam ucapan penangguhan persidangan parti itu.
Ketika ini, Gagasan Rakyat giat mengadakan persidangan agung tahunan peringkat bahagian di seluruh negeri.
Perkembangan itu bermakna DUN Sabah sempat bersidang untuk kali yang terakhir bagi penggal ke-16 pada awal Julai ini.
Pada April lalu, Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman menyempurnakan pembukaan sidang DUN bagi tahun ini yang sebelum ini dijangka sebagai persidangan terakhir penggal ke-16.
Jika DUN Sabah dibubarkan pada akhir Julai atau awal Ogos depan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka menetapkan tarikh PRN17 ketika cuti sekolah pada September depan.
SPR lazimnya memilih cuti sekolah untuk mengadakan pilihan raya bagi memudahkan prosesnya kerana sekolah dijadikan pusat pengundian.
Takwin sekolah bagi sesi 2025/2026 menunjukkan cuti sekolah penggal kedua bermula pada 12 hingga 20 September depan.
Tempoh antara akhir Julai atau awal Ogos depan hingga tamat cuti sekolah penggal kedua masih dalam lingkungan 60 hari yang ditetapkan dalam perlembagaan untuk SPR mengadakan pilihan raya selepas Parlimen atau DUN dibubarkan.
Ketika PRN16 pada 2020, pembubaran DUN diumumkan oleh Ketua Menteri ketika itu, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada 30 Julai 2020, manakala tarikh pengundian ditetapkan SPR pada 26 September 2020.
Bagaimanapun, jika Ketua Menteri tidak meminta perkenan Yang di-Pertua Negeri untuk membubarkan DUN sehingga akhir Oktober depan, maka DUN Sabah bagi penggal ke-16 akan terbubar dengan sendirinya kerana sudah sampai tarikh matangnya genap tempoh lima tahun.
Jika DUN terbubar sendiri pada akhir Oktober depan, SPR mempunyai masa sehingga akhir Disember 2025 untuk mengadakan PRN17. – Info X