Putatan: Lapan rumah dan lima kenderaan musnah terbakar di Kampung Petagas, di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 3.45 petang itu, seorang anggota bomba turut cedera selepas terkena renjatan elektrik ketika operasi pemadaman kebakaran.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan, Zainuddin Saidi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 4 petang.
Katanya, sepasukan 22 anggota dan pegawai bersama jentera dikerah ke lokasi kejadian termasuk pasukan bantuan daripada BBP Penampang, BBP Kota Kinabalu dan BBP Tuaran.
“Sebaik tiba di lokasi, kebakaran didapati membabitkan lapan rumah jenis separuh kekal yang musnah sepenuhnya.
“Api berjaya dikawal jam 4.55 petang dan operasi pemadaman masih diteruskan bagi memastikan tiada lagi punca api yang boleh mencetuskan kebakaran semula,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Zainuddin berkata, anggota bomba berusia 27 tahun yang cedera dipercayai terkena renjatan elektrik semasa melakukan kerja-kerja pemadaman.
Katanya, anggota terbabit dihantar ke hospital untuk rawatan lanjutnya.
“Anggota terbabit masih dirawat di Hospital Queen Elizabeth II (HQEII) dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” katanya. – Harian Metro