KOTA KINABALU: Tonggak Sabah FC, Park Taesu membayangkan bakal meninggalkan pasukan itu selepas mendakwa masih belum mendapat jawapan mengenai masa depannya sehingga kini.
Dalam kenyataan yang dimuat naik dalam ruangan Facebook Story miliknya, pertahanan berusia 35 tahun itu turut berterima kasih kepada Sabah FC walaupun menganggap keputusannya ‘pahit untuk ditelan’
Taesu turut menyatakan harapannya agar pasukan itu bersikap lebih profesional dalam melayan para pemainnya.
“Terima kasih Sabah FC, walaupun pahit saya tetap telan kerana ini adalah sebahagian ataupun lumrah bola sepak, cuma saya harap di masa depan, kelab boleh bersikap lebih professional dalam melayan kami sebagai pemain, kami juga manusia.
“Saya masuk Sabah FC dengan cara yang baik di tahun 2019, harapan saya untuk keluar dari pasukan juga dengan cara yang sama, tapi dari bulan Januari janji untuk duduk semeja dengan saya berbincang… masa demi masa saya tunggu kerana setia dan sayang saya dengan pasukan (tidak mencari peluang atau pasukan lain).
“Tiada jawapan (daripada pasukan) cuma (yang dikatakan) “nanti kita jumpa”, bila musim sudah tamat, saya tanya lagi masih sunyi sepi… betul lah pepatah Inggeris ‘No answer is an answer’… Tidak apa, salam maju jaya untuk team kesayangan saya …saya akan sentiasa menjadi penyokong nombor satu anda,” katanya.
Pemain yang telah meledak 20 gol bersama The Rhinos itu turut berharap agar Sabah FC bersikap lebih jujur dan tidak hanya pandai bermain kata ketika dalam mesyuarat.
“Semoga di masa akan datang kita semua dapat belajar bahawa kejujuran, ketelusan dan rasa hormat… bukan hanya hiasan kata-kata dalam mesyuarat, tetapi asas penting dalam membina pasukan yang kuat atau setidak-tidaknya, kelihatan seperti tahu apa yang sedang dilakukan.
“Teruskan usaha, tapi mungkin kali ini dengan sedikit lebih tanggungjawab dan ‘commonsense’,” katanya lagi. – Info X