Tiga Blok Kedai Kayu Musnah Dalam Kebakaran di Bongawan

sabah-update-1-sabah-Kebakaran-Bongawan.png

Papar, 11 Jun – Tiga blok bangunan kedai lama jenis kayu di pekan Bongawan musnah dalam satu kebakaran awal pagi tadi, mengakibatkan kerugian harta benda termasuk beberapa buah kenderaan yang turut terbakar.

Kejadian berlaku sekitar jam 5.30 pagi, mencetuskan suasana panik dalam kalangan penduduk sekitar yang menyedari api marak dari salah sebuah blok sebelum merebak ke bangunan bersebelahan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis, Nelson Ponji, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.38 pagi.

“Sebaik menerima maklumat, seramai 15 anggota termasuk pasukan bantuan dari BBP Papar telah dikerahkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi pemadaman,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya dalam tempoh beberapa jam, namun ketiga-tiga blok bangunan terlibat musnah sama sekali.

Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.

Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top