Tarian Magunatip Gegar Istanbul, Harumkan Nama Malaysia di Pentas Antarabangsa

sabah-update-1-sabah-Mangunatip.png

KOTA KINABALU – Warisan budaya masyarakat Murut sekali lagi mengharumkan nama Sabah dan Malaysia di persada antarabangsa apabila Tarian Magunatip dinobat sebagai juara keseluruhan, menewaskan 13 pasukan lain dari pelbagai negara.

Persembahan memukau itu dibawakan oleh sekumpulan pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chung Hwa, Tenom, yang berjaya menambat hati juri dan penonton dalam Festival dan Pertandingan Tarian Rakyat Antarabangsa ke-26 yang berlangsung dari 29 Mei hingga 1 Jun lalu di Istanbul, Turkiye.

Menurut Jurulatih Kebudayaan sekolah berkenaan, Siti Faridah Lawadin, kejayaan ini turut disertai dengan satu lagi pencapaian membanggakan apabila pasukan tersebut turut dianugerahkan Anugerah Persembahan Terbaik (Best Performance Award), sekali gus mengukuhkan reputasi pasukan sebagai antara yang terbaik di peringkat global.

Katanya, kejayaan ini merupakan hasil usaha gigih para pelajar serta sokongan padu daripada pihak sekolah dan komuniti.“Mereka berjaya mengatasi 13 pasukan lain dari seluruh dunia dan muncul sebagai juara. Ini bukan sahaja mengangkat nama sekolah dan Sabah, tetapi juga meletakkan seni tradisional kita di pentas dunia.

“Penyertaan ini menjadi platform penting dalam memartabatkan budaya tempatan ke peringkat antarabangsa serta menyemai rasa bangga dalam kalangan generasi muda untuk terus mewarisi dan memelihara seni tradisi,” katanya dalam kenyataan media pada Selasa.

Jelasnya, kejayaan itu turut memperkukuhkan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Turkiye melalui pendekatan budaya serta warisan, sekaligus menonjolkan Sabah sebagai antara negeri yang aktif mempromosikan budaya etniknya di peringkat global.

Tambahnya, ini juga bukti bahawa seni budaya warisan mampu menjadi jambatan kepada perpaduan dan kebanggaan rakyat, serta sebagai aset penting dalam mengangkat imej negara di mata dunia.

Rombongan pelajar bersama jurulatih dan pegawai pengiring selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada pukul 1 pagi tadi.

Ketibaan mereka disambut meriah oleh wakil Jabatan Pendidikan Sabah, Pegawai Pendidikan Daerah Tenom, Ahli Lembaga Sekolah, alumni, Pengetua SMJK Chung Hwa, Oou Chu Suan serta wakil Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top