KOTA KINABALU, 17 Sept – Program Sabah Screen Talent (SST) KIDS 2025 siri pertama telah berlangsung dengan jayanya hari ini di Galeri Azman Hashim, Universiti Malaysia Sabah (UMS), melibatkan seramai 17 murid berusia 8 hingga 12 tahun dari sekolah sekitar Kota Kinabalu, Kudat dan Papar.
Program latihan asas lakonan skrin ini dianjurkan oleh Persatuan Bakat Skrin Sabah (PBSS), dengan tujuan mengasah bakat seni lakonan di kalangan kanak-kanak serta membentuk kemahiran insaniah (soft skills) seperti kerjasama, hormat-menghormati dan disiplin.
Menurut Encik Ramli Carlo, Pengerusi PBSS merangkap pengerusi penganjur, program ini diadakan sebagai platform awal agar bakat muda dapat dibimbing seawal usia sekolah rendah.
Majlis penutupan disempurnakan oleh En Chester Pang, Presiden Persatuan Filem & Video Sabah (SAFVA). Dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa para peserta harus meneruskan usaha menimba ilmu lakonan dan tidak hanya berhenti pada program ini semata-mata.
“SST KIDS 2025 merupakan langkah pertama. Saya berharap adik-adik akan terus belajar, berlatih dan mendalami dunia lakonan kerana industri ini perlukan bakat baru,” katanya sebelum menyampaikan sijil penyertaan kepada semua peserta.
Program SST KIDS ini dijangka akan diteruskan dalam siri seterusnya pada tahun 2025 bagi melahirkan lebih ramai pelapis pelakon muda berbakat dari Sabah.
SST KIDS 2025 (Siri 1/2025) – Penutupan & Penyampaian Sijil telah dirasmikan oleh Presiden SAFVA, En Chester Pang.
Sumber:
Persatuan Bakat Skrin Sabah (PBSS) / Majlis Penutupan SST KIDS 2025