Musli Oli : GRS nampak Kukuh diluar…

0 393

STABILKAH POLITIK SABAH?

  1. Perbincangan dengan beberapa pemimpin politik sehari dua ini menyebabkan saya sukar tidur. Saya bimbang politik negeri akan kembali bergolak jika keputusan politik yang diambil pemimpin GRS kurang bijaksana. Ini ditambah pula dengan isu-isu ekonomi rakyat seperti pembatalan Bazaar Ramadan, pasar tani, pasar malam dan sebagainya yang tidak memihak kepada pemerintah dan boleh ‘swing mood’ rakyat untuk melakukan undi protes pada PRU akan datang.
  2. Namun kerisauan sebenar lebih tertumpu kepada kerjasama dalam GRS yang cuma secara luaran kelihatan kukuh tetapi boleh berkocak bila-bila masa terutama bila tiba masa memilih calon mewakili parti-parti dalam gabungan itu kelak. Hakikatnya GRS bukanlah gabungan yang terikat dengan kukuh seperti GPS Sarawak yang telah berdaftar sebagai pertubuhan politik yang sah. GRS cuma seperti Muafakat Nasional atau MN. Bukan sebuah organisasi politik yang sah. Gabungan itu cuma terikat melalui MOU iaitu persefahaman antara pemimpin parti-parti politik untuk berkerjasama.
  3. Saya tidak menolak kemungkinan parti-parti utama dalam GRS terutama PPBM, Umno, STAR dan PBS sukar mencari formula yang boleh memuaskan hati parti-parti politik yang berkepentingan diperingkat Persekutuan. Bila pertembungan Umno-PPBM diperingkat Persekutuan tidak dapat dielak, sudah tentu Umno Negeri Sabah sukar memberi laluan kepada PPBM melepaskan kerusi-kerusi yang dimenangi pada PRU lalu. Kemungkinan pertembungan ‘free for all’ di beberapa kawasan parlimen boleh berlaku seperti pada PRN September tahun lalu.
  4. Apakah implikasinya kepada politik negeri selepas PRU? Apapun keputusan pilihanraya di peringkat parlimen politik negeri Sabah pasti akan menerima kesan secara langsung kerana dijangka akan berlaku perubahan lanskap politik yang besar diperingkat Persekutuan. Saya meramalkan tiada sebuah parti politik sebagai ‘single party’ atau gabungan parti yang akan menang dan membentuk kerajaan. Apa yang berlaku akan terbentuk sebuah kerajaan campuran. Mungkin PN+BN+GPS+ Warisan akan bentuk kerajaan atau gabungan PH+BN+GPS+Warisan.
  5. GPS Sarawak dan Warisan boleh menjadi ‘King Maker’ dan menyokong gabungan yang akan membentuk kerajaan Persekutuan tetapi GRS tidak boleh berbuat demikian kerana MP Sabah tidak mewakili GRS tetapi mewakili parti masing2. Sudah tentu MP Umno akan menyertai blok partinya. Begitu juga MP dari parti PPBM. Sudah tentu keputusan parti diperingkat Persekutuan akan mempengaruhi pemimpin parti di Sabah. Saya tidak menolak kemungkinan beberapa Adun daripada parti-parti GRS juga akan membuat kerjasama dan gabungan baru. Akibatnya kerajaan GRS boleh akan hilang majoriti.
  6. Sebaliknya jika semua 25 calon parlimen di Sabah bertanding atas tikit GRS sahaja dan GRS berdaftar sebagai pertubuhan yang sah, kemelut politik seperti itu barangkali dapat dielak. Walaupun ia bukan satu jaminan tetapi sekurang2nya Sabah bersama Sarawak bakal menjadi ‘King Maker’ dan mempastikan kerajaan Persekutuan yang disokong bakal melaksana MA63 sepenuhnya. Jika tidak berbuat demikian dalam tempuh tertentu, negeri2 Borneo boleh menarik sokongan secara en-bloc.

Renung2kan lah…

Tanjung Aru Plaza
2.07am 22 April 2021

Sumber : Musli Oli

Leave A Reply

Your email address will not be published.