Abah Tidak Peduli pendapat Zahid

0 7

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengulas ‘serangan’ warga maya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menerusi ruangan komen di akaun Facebook Istana Negara.

Zahid pada hantaran di media sosial menyertakan pautan laporan Malaysiakini, berjudul “Warga maya ‘serang’ Muhyiddin di FB Istana Negara.”

“Saya membaca laporan portal berita ini dengan teliti. Saya melihat isi kandungannya sebagai sesuatu yang serius.

“Apa yang berlaku itu manifestasi kegelisahan rakyat berhubung kemerosotan ekonomi akibat pandemik Covid-19.

“Apa yang boleh saya perkatakan adalah rakyat mahukan sebuah negara yang stabil politiknya, manakala ekonominya mengukuh. Pelaburan langsung asing (FDI) yang memberangsangkan untuk memacu kewangan negara dan sektor pekerjaan.

“Apa yang rakyat mahukan adalah kehidupan yang sejahtera dan pekerjaan untuk menyara diri serta keluarga,” katanya.

Menurut Zahid, keadaan negara ketika ini adalah “sebaliknya.”

“Orang mengeluh sana sini tentang kehidupan mereka. Hilang kerja dan sebagainya.

“Ketika berdepan kesukaran hidup, kita berdoa supaya wabak ini tamat segera dan politik negara dapat diperkukuhkan,” katanya lagi.

Dalam satu hantaran yang memuatnaik gambar Muhyiddin menghadap Yang di-Pertuan Agong semalam bagi sesi perbincangan dan pertukaran pendapat berkenaan urusan dan isu-isu berkaitan kerajaan, rata-rata warga maya menggunakan platform media sosial untuk mengadu kesukaran mereka sewaktu pandemik Covid-19 dan tidak kurang juga yang “menyerang” pentadbiran Muhyiddin.

Tidak terkecuali juga, ada yang meninggalkan komen-komen nakal mengenai jumlah majoriti yang menyokong pentadbiran Muhyiddin.

Untuk rekod, sebelum ini beberapa pemimpin politik daripada Umno mahupun pembangkang membangkitkan isu yang sama.

Antaranya Pengerusi PKR Johor Syed Ibrahim Syed Noh pula menggesa kerajaan terutamanya Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri agar lebih giat memainkan peranan membawa masuk pelaburan asing ke dalam negara serta merangka pelan untuk memanfaatkan pelaburan untuk rakyat dan ekonomi negara.

Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki turut menuntut Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali menjelaskan tindakan segera kerajaan bagi menangani kejatuhan terus pelaburan langsung asing (FDI) negara.

Dia turut memetik laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD) yang diterbitkan 24 Jan, FDI Malaysia merosot sehingga 68 peratus – jauh teruk berbanding negara negara lain Asean yang disebut dalam laporan itu.

Dalam laporan itu, FDI Malaysia ialah sebanyak AS$2.5 bilion berbanding negara Singapura (AS$58 bilion – jatuh 37 peratus), Indonesia (AS$18 bilion – jatuh 24 peratus), Vietnam (AS$14 bilion – jatuh 10 peratus), Thailand (AS$11.4 billion – jatuh 50 peratus), dan Filipina (AS$6.4 bilion – naik 29 peratus). – MK

Leave A Reply

Your email address will not be published.